Perutusan Yang Dipertua

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta Inayah-Nya tercapai juga hasrat KESUJA untuk mengadakan BLOG sendiri yang bertujuan untuk memperlengkapkan KESUJA dengan keperluan teknologi semasa selaras dengan hasrat untuk memaksimumkan peranan KESUJA kepada ahli-ahlinya  dan warga Cawangan Jalan umumnya.

Pada kesempatan ini ingin saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa KESUJA Sesi 2011-2012 dan semua pihak yang terlibat dalam mewujudkan BLOG KESUJA ini.  Semoga ianya  akan memberi kemudahan kepada Ahli-Ahli serta Warga Cawangan Jalan mengikuti perkembangan terkini aktiviti KESUJA serta menjadi wadah penyaluran  maklumat secara sistematik dan berkesan.  BLOG ini juga sekaligus akan mewujudkan ruang bagi membolehkan semua ahli KESUJA memberi pendapat dan komen membina demi memantapkan lagi KESUJA terutamanya dalam mengendalikan kebajikan dan kepentingan ahli yang bernaung di bawahnya.  Paparan gambar aktiviti yang dijalankan oleh KESUJA secara tidak langsung juga sudah pasti akan dapat mewujudkan keceriaan dan melahirkan nilai-nilai murni serta positif dikalangan Ahli-Ahlinya serta Warga Cawangan Jalan.

Bertepatan dengan matlamat dan objektif penubuhan KESUJA, pelbagai aktiviti yang melibatkan sukan serta kebajikan telah dilaksanakan oleh KESUJA untuk ahli-ahlinya.  Ahli Jawatankuasa yang telah dilantik akan sedaya upaya berusaha untuk menjayakan aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun 2011 walaupun menghadapi cabaran dan kesukaran seperti kekangan masa dan tuntutan tugas masing-masing.  Semoga komitmen ini akan berterusan dan menghasilkan yang terbaik untuk Ahli-Ahli KESUJA  dan Cawangan Jalan .
Akhirnya, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada  semua  warga kerja Cawangan Jalan yang telah  memberikan  komitmen  dan  kerjasama yang amat baik.  Semoga  usaha   kita akan  diberkati dan  segala  perancangan   kita  dapat dilaksanakan dengan  jayanya.
Sekian, Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


YANG DIPERTUA
DATO’ Ir. BAHARANUDDIN BIN CHE ZAIN